Analogi Pisau, Sabit dan Kapak
(Pelaburan, Simpanan dan Perlindungan Adalah Berbeza)
Adakah anda keliru?
Dalam
pengurusan kewangan peribadi, ada pelbagai “peralatan” seperti simpanan,
pelaburan, takaful, wasiat, pusaka dan lain-lain lagi. Setiap satu mempunyai
kegunaan dan fungsi masing-masing.
Sebagai
contoh, takaful adalah untuk persediaan bagi menghadapi saat-saat
kecemasan dan musibah seperti masuk hospital, sakit kritikal, lumpuh
dan kematian.
Fungsi
simpanan pula terbahagi kepada tiga iaitu:
- Jangka pendek,
- Jangka sederhana, dan
- Jangka panjang.
Fungsi
simpanan jangka pendek adalah untuk memperuntukkan sebahagian wang
untuk masa-masa kecemasan yang tidak dilindungi takaful seperti paip
bocor, kereta rosak, dan duit hilang.
Fungsi
simpanan jangka masa sederhana pula adalah seperti perancangan
percutian dan pembelian perabot.
Fungsi
jangka masa panjang pula adalah seperti pendidikan anak-anak,
persaraan, dan pembelian rumah.
Fungsi
pelaburan pula adalah untuk menggandakan wang simpanan yang ada. Fungsi
perancangan pusaka adalah untuk memastikan ahli-ahli waris mudah mendapat
pembahagian harta masing-masing selepas berlaku kematian.
Masing-masing
mempunyai fungsi dan matlamat yang tersendiri.
Sebagai
seorang perunding kewangan dan takaful, kita perlu gunakan analogi pisau,
sabit dan kapak apabila membuat perbandingan instrumen-instrumen kewangan
takaful, simpanan, pelaburan, dan sebagainya.
“Encik, andaikan encik sekarang ingin memotong sayur, yang mana akan
encik gunakan; pisau, sabit atau kapak?”, tanya saya.
“Sudah tentulah pisau untuk memotong!”, dia tidak memerlukan masa yang lama
untuk menjawab soalan saya.
“Apa pula yang kita gunakan untuk menebang pokok?”, soal saya lagi.
“Hmm… gergaji… atau kapak”, sedikit teragak-agak jawapannya kali ini.
Mungkin tidak pernah menebang pokok. Seperti saya.
“Apa akan jadi sekiranya kita gunakan kapak untuk memotong sayur?”, tanya saya.
Dia
mengerutkan dahi. Berfikir barangkali.
“Apa
pula akan jadi jika kita gunakan pisau untuk menebang pokok?”, tanya saya tanpa menunggu jawapan daripada
soalan terdahulu.
Dia
masih mengerutkan dahi. Masih berfikir barangkali.
Saya
tidak perlukan membuat persoalan tentang parang yang masih belum digunakan.
Sepatutnya saya akan bertanya “Apakah yang akan digunakan untuk menebas
lalang?”, dan jawapannya adalah; Sabit.
Pisau
untuk memotong sayur.
Sabit
untuk menebas lalang.
Kapak
untuk menebang pokok.
Setiap
peralatan mempunyai fungsi dan peranan masing-masing.
Ya,
kita masih boleh “menebang” sayur menggunakan kapak, dan masih boleh “memotong”
pokok menggunakan pisau, tetapi hasilnya tentu tidak memuaskan.
Sayur
yang “ditebang” menggunakan kapak tentu akan porak-peranda hasil potongannya,
dan tentu sukar sekali melakukannya, walaupun hasil potongan itu masih boleh
dimakan.
Begitu
juga apabila pokok “dipotong” menggunakan pisau pemotong sayur, tentu memakan
masa yang lama untuk “memotongnya”.
Rasanya
hanya dua keadaan sahaja orang akan menggunakan kapak untuk “menebang” sayur,
dan pisau untuk “memotong” pokok.
Pertama: tiada pilihan peralatan lain yang ada.
Kedua: orang gila.
TAKAFUL
– Peralatan Kewangan yang Sering Disalah Faham
Begitu
juga halnya dengan takaful. Memang benar, kita boleh menggunakan takaful
sebagai peralatan untuk simpanan dan pelaburan , tetapi hasilnya sudah tentu
berbeza apabila kita menyimpan di dalam bank atau melabur di Tabung Haji.
Apabila
kita menyimpan wang di dalam bank, beberapa bulan selepas itu kita boleh
mengeluarkan jumlah yang sama sebagaimana yang kita simpan. Apabila kita
menyimpan RM100 sebulan ke dalam bank, kita akan mendapat RM1,200 selepas
setahun kita menyimpan. Mungkin
dengan sedikit keuntungan.
Ini
tidak berlaku apabila kita menyimpan dalam takaful. Wang sumbangan untuk setiap
polisi takaful, hanya sebahagian kecil yang masuk ke dalam akaun simpanan.
Apabila kita membayar RM100 sebulan untuk polisi takaful, kita tidak akan dapat
mengeluarkan RM1,200 selepas setahun menyertai skim ini.
Seperti
kapak dan pisau tadi, hasilnya mengecewakan apabila kita mengharapkan simpanan
daripada polisi takaful yang kita ambil.
Apabila
menyertai skim takaful dengan bayaran RM 100 sebulan, sekiranya berlaku musibah
dalam tempoh tersebut, kita bukan sahaja mendapat RM1,200. Malah berpuluh kali
ganda dan mungkin mencecah seratus kali ganda daripada wang simpanan kita.
Inilah
yang membezakan takaful dengan peralatan-peralatan kewangan yang lain.
Sebagaimana pisau dan kapak berbeza. Berbeza dari segi fungsi, kegunaan, dan
matlamat.
Betul,
takaful juga boleh diguna sebagai simpanan, sebagaimana pisau boleh diguna
untuk menebang pokok. Namun, ia akan memakan masa yang lama sehingga
sekurang-kurangnya 10 ke 20 tahun. Itupun bergantung kepada produk takaful yang
anda sertai.
Hanya
produk takaful berserta simpanan yang mempunyai simpanan. Simpanan untuk jangka masa yang lama.
Sebagaimana
pisau tadi hanya mampu menebang pokok selepas memakan masa yang lama. Oh, ini
andaian saya sahaja kerana saya sendiri belum pernah lagi cuba untuk menebang
pokok menggunakan pisau kerana saya masih waras.
Di
sini peranan wakil-wakil takaful. Untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat
tentang fungsi takaful. Takaful sebagai alat untuk persediaan menghadapi
masa-masa getir seperti kematian, lumpuh, sakit, dimasukkan ke hospital,
kemalangan dan sebagainya.
Apalah
sangat RM100 – RM200 sebulan jika hendak dibandingkan dengan pampasan takaful
yang nilainya yang boleh mencecah RM100, 000 ke RM200,000.
Ini
kadang-kadang disalah faham di kalangan masyarakat dan disalah guna oleh
segelintir wakil takaful atau ejen insurans.
Apabila
bertemu dengan prospek, ditekankan soal kelebihan simpanan apabila
mempromosikan takaful berbanding menceritakan kelebihan perlindungan yang
menjadi fungsi utamanya. Ini akan menimbulkan permasalahan di kemudian hari
apabila pelanggan mengambil polisi takaful dengan harapan untuk menyimpan.
Ia
akan timbul masalah apabila selepas beberapa bulan, atau beberapa tahun
pelanggan ingin mengeluarkan wang simpanan takafulnya. Selepas itu, baru mereka
sedar bahawa selama ini mereka menggunakan pisau untuk menebang pokok.
Hasilnya;
pokok tidak tumbang, manakala pisau pula semakin tumpul.
P/S : Sumber artikel dari internet. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment